KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 menggariskan cadangan peruntukan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.
Rang undang-undang bagi meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dibentang Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, yang turut memaklumkan bacaan kali kedua pada sesi sidang sama.
Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, Fasal 91(c) mencadangkan memasukkan subseksyen baharu ke dalam Seksyen 233 akta itu, yang memperuntukkan hukuman berbeza dan lebih tinggi jika kesalahan dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berumur bawah 18 tahun, yang mentafsirkan kesalahan yang dilakukan sebagai kesalahan boleh tangkap.
Subseksyen baharu itu juga turut memperuntukkan pesalah boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Fasal 91(a)(i) pula mencadangkan penggantian perkataan ‘jelik’ dengan perkataan ‘jelik melampau’ pada Seksyen 233 (1), manakala Fasal 91(a)(ii) bertujuan untuk memasukkan unsur kesalahan yang baharu dalam subseksyen sama berhubung dengan perlakuan apa-apa fraud dan kecurangan kepada mana-mana orang.
Sementara itu, Subfasal 91(d) mencadangkan memasukkan Subseksyen (4)(a), berhubung penggunaan perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang.
“Subseksyen (4)(b) membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalannya untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan (a), melakukan suatu kesalahan di bawah Subseksyen (4).
“Apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM10,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan,” menurut naskhah itu.
Selain itu, Fasal 92 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 233A dalam Akta 588 untuk melarang seseorang daripada menghantar, menyebabkan dihantar atau membenarkan penghantaran pesanan elektronik komersial tanpa diminta.
Peruntukan itu juga berkait dengan kemasukan perenggan baharu 16(1)(ha) Akta 588 yang memberi Menteri kuasa untuk membuat peraturan-peraturan berhubung dengan perkara ini.
Fasal 93 bertujuan untuk meminda Subseksyen 234(3) untuk menaikkan penalti bagi kesalahan di bawah Seksyen 234 akta itu daripada RM50,000 kepada RM500,000, dan hukuman penjara daripada setahun kepada lima tahun.
Pindaan menerusi Fasal 94 bertujuan menggantikan Seksyen 235 Akta 588 untuk menaikkan penalti bagi kesalahan di bawah Subseksyen 235(1) dan (2) sedia ada Akta 588, dan untuk memasukkan larangan mengenai milikan apa-apa kemudahan rangkaian yang telah dikeluarkan secara tidak sah dari segi undang-undang.
“Menerusi Subfasal 95(a) dan (b) bertujuan untuk meminda Subseksyen 236(1) Akta 588 untuk meluaskan skop tindakan yang terjumlah kepada fraud dan aktiviti berkaitan berhubung dengan peranti capaian,” menurut naskhah itu.
Sebelum ini, Fahmi menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras aktiviti jenayah dalam talian, sekali gus menjadikan Internet sebagai platform yang lebih selamat untuk pengguna.
Beliau berkata pindaan Akta 588 yang telah berkuat kuasa selama 26 tahun itu, akan meliputi penambahbaikan kepada skop penggunaan Seksyen 233, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, bagi mengelakkannya disalah guna, selain aspek media sosial, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian.