• 2025-10-10 09:20 AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang ini.

Ia merupakan belanjawan keempat yang dibentang oleh Kerajaan MADANI pimpinan beliau, dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pembentangan Belanjawan 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan platform media sosial, termasuk saluran BERNAMA TV yang turut menayangkan Program Khas Analisis Prapembentangan Belanjawan 2026 pada 3 petang.

Menurut kenyataan prabelanjawan 2026 yang disiarkan di laman sesawang khas Kementerian Kewangan, Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang telah dibina melalui Belanjawan MADANI sebelum ini.

Belanjawan 2026 juga akan terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.

Dalam mendepani ketidaktentuan global serta persaingan yang semakin sengit, tumpuan Belanjawan 2026 akan terarah kepada penyampaian agenda ekonomi Malaysia jangka panjang di samping menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan melindungi daya tahan ekonomi negara.

Pada masa sama, kenyataan prabelanjawan 2026 turut memaklumkan bahawa usaha akan diambil bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui bantuan yang lebih bersasar berteraskan keberhasilan ke arah menambah baik kualiti hidup.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, ketika memberikan taklimat berkaitan Belanjawan 2026 kepada editor media di Putrajaya pada Rabu, berkata Belanjawan Kerajaan MADANI Keempat itu akan menumpukan usaha untuk membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan di Peringkat Dasar selama lapan hari oleh Ahli-Ahli Parlimen selepas dibentang hari ini.

Seterusnya, sesi penggulungan oleh kementerian akan berlangsung dari 29 Okt hingga 4 Nov diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 Nov untuk kelulusan Dewan Rakyat - Bernama