KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang terus dikurniakan kesihatan yang baik.
Dalam kenyataan ringkas yang dikongsikan di laman X hari ini, Anwar menzahirkan doa buat Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.
“Mendoakan kesihatan yang berterusan buat Ustaz Hj Hadi, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman X pagi ini.
Abdul Hadi dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan prosedur pembedahan jantung di IJN.
Anaknya, Dr Muhammad Khalil, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, memaklumkan bahawa rawatan yang dijalani Presiden PAS itu telah berjaya dilaksanakan.