• 2025-08-08 08:31 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perpaduan ASEAN kini lebih penting berbanding sebelumnya kerana terpaksa berdepan dengan persaingan geopolitik yang semakin sengit, pemecahan ekonomi dan ketidaktentuan global.

Bercakap sempena sambutan ulang tahun ke-58 ASEAN, beliau berkata Malaysia berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menjadi Pengerusi blok serantau itu tahun ini dan sedar bahawa tanggungjawab tersebut hadir pada saat yang amat penting bukan sahaja dalam urusan antarabangsa tetapi juga cara negara berdagang, bekerja dan menjalani kehidupan.

“58 tahun lepas, ASEAN diasaskan dengan satu tujuan yang ringkas tetapi berkekalan iaitu untuk mengekalkan keamanan, membina kepercayaan dan memupuk kerjasama antara jiran. Visi itu kekal menjadi asas kukuh komuniti kita hingga ke hari ini,” katanya dalam video berdurasi empat minit 51 saat yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri berkata keupayaan ASEAN untuk bersuara dengan jelas, berkoordinasi dengan berkesan dan melindungi kepentingan bersama akan menentukan tahap keberkesanan serta kerelevanannya pada masa akan datang.

Daripada pendigitalan hinggalah ke nyahkarbon, beliau berkata ASEAN perlu mempersiap rakyatnya dalam mendepani perubahan yang sedang berlaku dan untuk menyesuaikan diri, maju serta terus berkembang, blok serantau itu mesti terus melabur dalam pembangunan kemahiran, infrastruktur dan kapasiti institusi.

Anwar juga berkata ASEAN, dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar hampir USD4 trilion dan penduduk kepada lebih 670 juta penduduk, berpotensi menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2030.

Bagaimanapun, beliau berkata skala sahaja tidak mencukupi kerana ASEAN perlu berkemabnga dengan cara yang lebih inklusif, mampan dan dikongsi secara meluas.

“Itulah fokus Kepengerusian ASEAN Malaysia dan itulah legasi yang kita harap dapat diserahkan kepada Filipina apabila mereka mengambil alih Kepengerusian blok serantau ini pada 2026,” katanya.

Anwar turut menyambut baik kemajuan proses penyertaan Timor-Leste dan berkata kemasukkan negara itu sebagai Ahli ke-11 akan melengkapkan keanggotaan ASEAN bagi mewakili seluruh rantau Asia Tenggara secara geografi.

Perdana Menteri juga berkata Visi ASEAN 2045 menetapkan matlamat jangka panjang untuk sebuah rantau yang berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat.

“Dokumen ini memandang ke hadapan tetapi kejayaannya bergantung kepada tindakan yang kita ambil sekarang, daripada mempertingkat kesalinghubungan serantau hinggalah kepada memperkasa keterjaminan makanan dan tenaga,“ katanya.

Pada masa sama, Anwar mengulangi komitmen Malaysia terhadap Kepusatan ASEAN dan menekankan bahawa blok berkenaan perlu terus kekal sebagai teras dialog dan kerjasama serantau serta menangani isu-isu rumit secara konstruktif termasuk situasi di Myanmar.

Perdana Menteri berkata ulang tahun adalah detik untuk merenung bukan hanya pencapaian tetapi juga kerja yang masih perlu dilakukan dan beliau mengakui bahawa meskipun kemajuan ASEAN adalah nyata, cabaran yang bakal dihadapi tidak kurang besarnya.

“Apa yang akan membawa kita ke hadapan dengan kekuatan dan keyakinan adalah pendekatan sama yang telah membina komuniti ini sejak awal - wawasan yang strategik, saling menghormati dan percaya-mempercayai serta komitmen untuk bekerjasama.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari ASEAN ke-58 kepada semua warga ASEAN. Semoha kerjasama kita kekal utuh dan semoga ASEAN terus menjadi contoh yang gemilang berkaitan keamanan, kemajuan dan kerjasama di rantau ini dan seterusnya,” kata beliau - BERNAMA