KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkaitan supaya memperkemas dan menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) proses kelulusan pembangunan sedia ada serta memantaunya secara berkala supaya negara sentiasa peka dan pantas mengadaptasi perkembangan situasi global.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata langkah itu antara ikhtiar Kerajaan MADANI supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaya saing dan menjadi destinasi utama pelaburan di rantau ini.

Pada masa sama, semasa menghadiri mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-47, beliau turut mengulangi keperluan meningkatkan sinergi kerjasama dan perbincangan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Ia sebagai usaha memperkukuh daya tahan domestik dalam ketidaktentuan ekonomi dunia melalui usaha-usaha mempercepatkan kelulusan projek-projek pembangunan yang akan membuka pasaran baharu,” katanya menerusi hantaran itu.

Pada 13 Mac lepas, Perdana Menteri dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu terus bekerja keras untuk membina masa depan Malaysia yang lebih terangkum dan gemilang demi kesenangan serta kebajikan rakyat jelata.

Ia termasuk mempercepat projek terkait rakyat yang memerlukan keseragaman dari segi kerjasama lebih hebat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.