KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri sejurus tiba dari Bahrain kira-kira 5 pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut memaklumkan hasil lawatan beliau ke Bahrain dan Brunei pada mesyuarat itu.
“Usai tiba dari Bahrain sekitar jam 5 pagi tadi, saya langsung mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri awal pagi tadi.
“Saya turut kongsikan hasil lawatan ke Bahrain dan juga Brunei yang tentunya membawa impak kepada pengukuhan dan peningkatan kerjasama dan sinergi baharu, insya-Allah,” katanya.
Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa.
Pada lawatan itu, Perdana Menteri menjadi satu-satunya Ketua Kerajaan yang diberikan penghormatan menyampaikan ucapan pada sesi utama Persidangan Dialog Intra-Islam (IIDC) di hadapan Imam Besar Al Azhar Al Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayyeb serta lebih 400 ulama dan cendekiawan Islam di seluruh dunia.
Bagi lawatan ke Brunei, Anwar menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman bagi membincangkan beberapa perkara termasuk krisis Myanmar, pertikaian Laut China Selatan dan perdagangan intra-ASEAN.
Sesi itu turut disertai bekas Perdana Menteri Thailand merangkap Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi Kepada Pengerusi ASEAN 2025 Thaksin Shinawatra.
Anwar sebelum ini berkata perbincangan itu terarah kepada Kepengerusian ASEAN 2025 dan peri pentingnya mendapat nasihat dan panduan Sultan Brunei, selaku pemimpin paling senior yang berpengalaman dan pengetahuan luas dalam kalangan pemimpin ASEAN.