• 2025-08-21 01:03 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem perundangan dan badan kehakiman merupakan tonggak utama negara bebas, merdeka dan demokratik, justeru memerlukan reformasi berterusan.

Beliau berkata prinsip pengasingan kuasa menuntut agar semua memahami bahawa era keangkuhan kuasa sama ada badan eksekutif dan kehakiman harus berakhir.

“Pengalaman di negara-negara ASEAN termasuk di Malaysia, membuktikan bahawa ada era di mana keangkuhan kuasa politik, menyebabkan lemahnya sistem perundangan seperti juga kerosakan dan kecemaran yang berlaku dalam badan kehakiman dengan tundingan rasuah dan keangkuhan serta penyelewengan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis penutup Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang bertemakan Enhancing Access to Justice in The ASEAN Economic Community: Bridging Legal Cooperation For Inclusive Growth.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri M. Kulasegaran serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Perdana Menteri berkata kerajaan MADANI mendukung penuh ikhtiar dan usaha pembaharuan yang diterajui Azalina bersama Jabatan Peguam Negara, bagi memperkukuh integriti sistem perundangan negara.

“Apabila Menteri Azalina menekankan keperluan perubahan, beliau melakukannya dengan semangat kental dan kesungguhan dalam sidang-sidang (mesyuarat) bersama menteri.

“Perubahan yang dilakukan bersama Jabatan Peguam Negara, akan memberi keyakinan baharu untuk menghapuskan salah guna kuasa,” kata beliau.

Forum tiga hari itu menghimpunkan 58 pembentang dan moderator dalam 15 sesi diketuai pakar, dengan lebih 300 peserta dari ASEAN dan luar rantau membincangkan pelbagai isu termasuk penyelesaian pertikaian alternatif, reformasi undang-undang komersial serta hubungan perniagaan dan hak asasi manusia.- BERNAMA