Your Title

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengemukakan cadangan dalam tempoh dua minggu mengenai kaedah memanfaatkan air hujan bagi memastikan bekalan air mencukupi semasa musim kemarau.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata arahan itu disampaikan Perdana Menteri dalam mesyuarat beliau bersama pengurusan tertinggi PETRA di sini hari ini.

“Perdana Menteri minta kita mengumumkan cadangan dalam tempoh dua minggu ini, apa yang boleh kita lakukan dalam memastikan bahawa negara kita banyak hujan, tapi pada masa yang sama kadang-kadang berlaku kemarau.

“Air hujan yang banyak, bagaimana kita nak simpan air supaya boleh digunakan untuk waktu kemarau dan untuk masa depan,“ katanya kepada media selepas Program Ihya Ramadan yang turut dihadiri Anwar.

Ditanya adakah tempoh dua minggu yang diminta Perdana Menteri dapat dipenuhi, Fadillah berkata kajian dan cadangan berkenaan perkara itu sudah dilaksanakan.

“Sekarang ini nak himpunkan untuk diserahkan supaya kita dapat mengkaji nanti apakah yang boleh kita laksanakan dari segi projeknya, dari segi tindakan yang perlu kita lakukan, dan apa pun tindakan yang perlu dilakukan, kita memerlukan kerjasama di peringkat kajian negeri,“ katanya.

Selain itu Fadillah berkata Perdana Menteri juga berpesan untuk pihak kementerian memastikan apa juga perkara yang ingin dilaksanakan, mestilah memastikan bekalan air dan tenaga mencukupi untuk negara.

Beliau berkata Anwar mahu setiap rakyat mendapat akses kepada bekalan air dan tenaga pada kadar yang mampu dibiayai rakyat.

Fadillah berkata mesyuarat turut membincangkan kaedah mempercepatkan pelaksanaan projek yang kritikal seperti projek tebatan banjir.

Sementara itu beliau berkata Perdana Menteri turut menyentuh mengenai isu tenaga dalam pertemuan berkenaan dan mahu PETRA menangani isu dihadapi rakyat dan sektor perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Perdana Menteri mahu apa sahaja tarif yang kita tetapkan, tidak akan (menyusahkan rakyat), mengambil kira kedudukan rakyat kebanyakan dan juga PMKS,“ katanya.