• 2025-07-21 11:18 AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan perlu memberikan manfaat kepada rakyat dan tidak membebankan golongan majoriti, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara ini termasuk pelaksanaan dasar berkaitan penyasaran subsidi bahan api RON95, yang sebelum ini dibayangkan akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini, namun kini masih dalam fasa penelitian.

Beliau berkata kerajaan perlu memastikan setiap dasar melalui mekanisme penyaluran yang teliti bagi mengelakkan kesan berantai atau knock-on effect kepada harga barangan dan perkhidmatan lain, sepertimana yang telah dipertimbangkan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada menyatakan pandangan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan negatif kepada majoriti rakyat. Samalah juga dengan dasar-dasar yang belum dilaksana, tetapi telah dibayangkan ataupun disebut sebelum ini mengenai RON95.

“Perdana Menteri ada menyentuh hal ini dalam permukiman dengan Ahli-Ahli Parlimen sebelum ini dan beliau (Anwar) berhasrat untuk memastikan ia tidak mendatangkan kesan yang negatif kepada rakyat dan perkara itu sedang dihalusi,” katanya pada sidang media mingguan di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Pada Mei lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025, dengan memastikan golongan yang akan menerima sokongan subsidi itu dikenal pasti secara tepat - Bernama