TOKYO: Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba menyatakan hasrat untuk meletak jawatan, kata pegawai kanan kerajaan pada Ahad, sehari sebelum parti memutuskan sama ada akan mengadakan pemilihan presiden, lapor Agensi Berita Kyodo.
Pada Isnin, Parti Liberal Demokratik (LDP) merancang mengumpul tandatangan daripada ahlinya bagi menentukan sama ada akan mengadakan pilihan raya presiden lebih awal daripada jadual pada 2027, berikutan desakan semakin memuncak supaya Ishiba mengambil tanggungjawab atas kehilangan majoriti gabungan pemerintah dalam pilihan raya Dewan Kaunselor pada Julai.
Kritikan terhadap Ishiba semakin meningkat sejak kebelakangan ini, termasuk daripada penyokongnya sendiri, meskipun beliau sebelum ini bertegas untuk terus kekal.
Pada Selasa, Ishiba berkata beliau akan menentukan masa depannya dalam politik pada “waktu yang sesuai” tetapi tetap menegaskan kesediaannya untuk terus berkhidmat bagi melaksanakan dasar-dasar, sedangkan seorang pembantu rapatnya menyatakan kesediaan untuk berundur daripada jawatan penting parti.
Ishiba menjadi perdana menteri selepas percubaan kelima merebut jawatan presiden LDP, namun gabungan pemerintahnya kehilangan majoriti di dewan rendah Diet dalam pilihan raya umum pada bulan sama.
Pada 20 Julai, blok pemerintah yang terdiri daripada Parti Liberal Demokratik dan rakan gabungannya, Parti Komeito, kehilangan majoriti dalam pilihan raya dewan atasan- BERNAMA-KYODO