PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, yang dalam rangka lawatan khas empat hari ke Malaysia atas undangan pemimpin nombor satu negara itu.

Sheikh Al-Azhar tiba di Kompleks Seri Perdana di sini, yang merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri, pada 6.30 petang.

Turut menyertai sesi itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Semalam, pesawat khas yang membawa Sheikh Al-Azhar selamat mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.42 malam.

Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2020/1442H itu turut dijadual menghadiri dan memberi ucapan pada Majlis Ilmu MADANI: “Distinguished Speaker Series” malam ini.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan lawatan khas oleh Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia dan Republik Arab Mesir.

Lawatan itu juga membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik.