KOTA BHARU: Sebanyak 3,000 topi keledar bakal diagihkan kepada pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan yang berlangsung di sini selama tiga hari bermula hari ini, kata Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Suriati Sulaiman.
Beliau berkata perkhidmatan penukaran topi keledar secara percuma itu menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai yang mula beratur di hadapan kaunter Kementerian Pengangkutan seawal 7.30 pagi.
“Sebanyak 1,000 topi keledar diagihkan setiap hari, iaitu 600 bagi sesi pagi dan 400 lagi pada sebelah petang,” katanya kepada Bernama di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal, khususnya dalam mengurangkan risiko kecederaan serius di bahagian kepala yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.
“Pemakaian topi keledar yang mendapat kelulusan SIRIM sangat penting bagi memastikan perlindungan optimum,” katanya.
Sementara itu, pengunjung Mohd Zaihan Zakaria, 49, dari Pasir Mas berkata beliau bertolak dari rumah seawal 6.40 pagi bagi merebut peluang mendapatkan topi keledar baharu secara percuma.
“Saya mendapat maklumat berkaitan program ini di Facebook dua hari lepas. Topi keledar saya sekarang sudah digunakan lebih lima tahun dan tidak lagi selamat.
“Saya memang bercadang untuk tukar sejak beberapa bulan lepas. Alhamdulillah, hari ini rezeki saya dapat milikinya secara percuma, sekali gus menjimatkan kos pembelian sekitar RM60,” katanya.
Mohd Zaihan turut memuji sistem pemberian kupon yang digunakan dalam program berkenaan kerana ia terbukti membantu memudahkan urusan - BERNAMA