SHAH ALAM: Polis sedang memburu seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki terlibat dalam kes liwat dan cabul terhadap tiga kanak-kanak serta seorang remaja lelaki di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28 di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan pihaknya menerima empat laporan membabitkan mangsa berusia sembilan, 13, 14, dan 19 tahun sejak April lalu. Kesemua insiden dipercayai dilakukan oleh suspek yang sama berdasarkan modus operandi yang digunakan.
“Suspek dipercayai meminta pertolongan daripada mangsa sebelum membawa mereka ke kawasan sunyi untuk melakukan liwat atau cabul,“ jelas Mohd Iqbal dalam kenyataan hari ini.
Sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka dengan dua kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala dua lagi di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Suspek berusia 25 tahun itu dilaporkan tidak bekerja dan mempunyai alamat terakhir di sebuah flat di Seksyen 27. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895.