TUMPAT: Polis sedang mengesan suspek dan kereta Honda yang terlibat dalam kejadian tembak melibatkan seorang lelaki maut di Jalan Hutan Kuin, Machang, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata nombor pendaftaran kereta yang dinaiki suspek belum dikenal pasti berikutan tiada kamera litar tertutup di lokasi kejadian.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan dan kita masih mengesan, dipercayai lima orang, terlibat dalam kejadian ini berdasarkan maklumat yang diterima.

“Kenderaan itu kita masih tidak dapat nombor pendaftaran kerana tidak ada kamera litar tertutup di lokasi kejadian, bagaimanapun, pihak polis terus melakukan siasatan dan akan maklumkan perkembangan terkini,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Kubor, di sini hari ini, yang turut disertai Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Dalam kejadian lebih kurang 5.45 petang Ahad lepas, seorang peniaga berusia 38 tahun maut ditembak ketika berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan kedai alat ganti kenderaan di Jalan Hutan Kuin, Machang.

Berdasarkan maklumat awal, dua suspek lelaki yang menaiki kereta Honda berwarna putih, telah melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah tingkap pemandu sehingga menyebabkan mangsa yang berada di kerusi pemandu meninggal dunia di tempat kejadian. - Bernama