KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan dua sindiket dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar Gombak susulan penahanan seorang lelaki dan wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga asing dengan rampasan dadah bernilai RM7,121,015.20 baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak merampas 212 bungkusan plastik dipercayai dadah jenis syabu seberat 222,331 gram (g) dalam sebuah kereta Toyota Vios yang ditinggalkan di sebuah gudang penyimpanan pada 14 Mei lepas sekitar 9.30 malam.
Beliau berkata hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang bekerja sebagai penjual kereta terpakai dan direman selama 12 hari sehingga esok.
“Nilai rampasan dadah bagi kes pertama ini berjumlah RM7,114,592 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang. Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita seutas rantai emas bernilai RM11,348.86,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media rampasan dadah jenis syabu dan ganja di IPD Gombak di sini hari ini.
Noor Ariffin berkata bagi kes kedua, pihaknya menahan seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun dipercayai pelajar kolej swasta dan wanita tempatan berusia 47 tahun dipercayai bekerja sebagai eksekutif insurans syarikat swasta dalam sebuah kereta Honda City, sekitar 6 pagi pada Selasa lepas.
Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai pasangan kekasih direman selama tujuh hari sehingga 3 Jun ini.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan dua paket berisi daun kering mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 2,072 gram.
“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM6,423.20 dipercayai untuk pasaran sekitar Gombak. Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita wang tunai RM500,” katanya.
Beliau berkata semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan keputusan saringan air kencing adalah negatif serta kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.