• 2025-07-02 04:45 PM

JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan menahan lima individu termasuk dua wanita warga asing. Operasi khas ini turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM3 juta.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor pada 19 Jun lepas. Serbuan dilakukan di tiga lokasi berbeza antara jam 12 tengah hari hingga 9 malam.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berumur 29 hingga 46 tahun. Seorang daripada lelaki itu dipercayai sebagai dalang utama sindiket ini,“ katanya dalam sidang media.

Menurut Kumar, sindiket ini menggunakan dua unit pangsapuri dan sebuah rumah teres berpagar untuk menyimpan serta membungkus dadah sebelum diedarkan. Urus niaga dilakukan melalui aplikasi WeChat, dengan pembayaran dibuat secara dalam talian tanpa pertemuan fizikal.

“Dadah biasanya ditinggalkan di lokasi tertentu seperti tepi jalan, longkang, atau tong sampah untuk diambil pembeli,“ jelasnya.

Antara dadah yang dirampas termasuk serbuk ekstasi (16,865 gram bernilai RM2.8 juta), ketamin (104 gram bernilai RM20,800), pil Erimin 5 (548 gram atau 1,950 biji bernilai RM54,000), pil ekstasi (375 gram atau 1,250 biji bernilai RM62,625), dan pil yaba (7 gram atau 35 biji bernilai RM525). Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.95 juta.

“Dadah ini mampu digunakan oleh 59,971 penagih. Selain itu, polis turut merampas peralatan memproses dadah, lima kenderaan bernilai RM228,600, wang tunai RM9,100, dan barang kemas bernilai RM18,901,“ tambah Kumar.

Kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, dengan tiga daripadanya memiliki rekod jenayah. Mereka direman sehingga 3 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Dua wanita Vietnam turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, JSJN Johor telah menahan 12,835 individu atas pelbagai kesalahan dadah. Sebanyak 1.08 tan dadah dan 5,816.56 liter bahan disyaki dadah bernilai RM106.97 juta turut dirampas.

“Kami juga menyita aset sindiket berkaitan dadah bernilai RM9.23 juta,“ kata Kumar.