• 2025-09-05 04:35 PM

JOHOR BAHRU: Polis Johor tidak menerima sebarang laporan berkaitan penipuan subsidi perumahan Johor-Singapura susulan amaran yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung kes itu.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad bagaimanapun berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan SPF sekiranya diperlukan.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum artikel yang melaporkan SPF memberikan amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan tersebut.

“Polis Johor mengesahkan bahawa tiada laporan berkaitan penipuan tersebut diterima kontinjen. Bagaimanapun, polis Johor akan bekerjasama dengan SPF sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau pada masa sama menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran berbentuk subsidi dan disaran mengambil langkah pencegahan supaya tidak menjadi mangsa.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau akaun Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Facebook, Instagram dan TikTok bagi maklumat lanjut berhubung modus operandi terkini melibatkan kes penipuan.

Semalam, media Singapura melaporkan SPF memberikan amaran mengenai satu penipuan melibatkan subsidi perumahan Johor-Singapura yang tular di Facebook.

Mangsa penipuan didakwa menemukan iklan berserta pautan yang mempromosikan “JBSG Housing Subsidy Program” atau “Free Homes Across the Causeway” di platform berkenaan.

Laporan itu dipetik berkata iklan tersebut menggambarkan wujud kerjasama antara kerajaan Johor dan Singapura dalam penyediaan perumahan bersubsidi- BERNAMA