• 2025-10-12 06:04 PM

SIBU: Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) diseru supaya menggembleng tenaga bagi memperkukuh mekanisme penguatkuasaan secara berterusan.

Ini sejajar aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50% menjelang 2030.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata langkah itu penting untuk mengurangkan kerugian akibat kemalangan jalan raya yang meningkat setiap tahun.

“Berdasarkan kajian dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2024, dianggarkan sebanyak RM19.7 bilion kerugian dicatatkan setiap tahun akibat kemalangan jalan raya,“ jelasnya.

Beliau berkata sikap tidak bertanggungjawab dan kegagalan mematuhi peraturan jalan raya antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan.

Sebanyak 1,114 peserta daripada golongan B40 di kawasan DUN Nangka berjaya memperoleh lesen memandu motosikal kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 (MyLesen).

Kesemua peserta berkenaan menamatkan proses tapisan serta menjalani latihan dan ujian yang ditetapkan oleh JPJ sebelum berjaya mendapatkan lesen itu.

Annuar berkata program yang diperkenalkan pada awal 2024 itu bertujuan membantu rakyat dalam kalangan berpendapatan rendah untuk memperoleh lesen memandu motosikal dengan kos minimum.

“Secara tidak langsung, kita mampu mengubah budaya dan pemikiran masyarakat ke arah menjadi pengguna jalan raya yang lebih berhemah, bertoleransi dan bertolak ansur,“ katanya. – Bernama