JITRA: Polis Kedah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah jenis ganja dengan merampas kira-kira 93.77 kilogram (kg) bahan terlarang bernilai RM290,600. Operasi itu turut membawa kepada penahanan empat lelaki dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Bukit Kayu Hitam dari 30 Julai hingga 2 Ogos.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah, berkata serbuan pertama dilakukan di Taman Lama Ladang Rakyat Laka Temin pada 30 Julai, di mana seorang suspek berusia 18 tahun ditahan. Tiga bungkusan plastik hitam mengandungi 55 balutan ganja seberat 57,352.85 gram turut dirampas di kawasan semak berhampiran.
“Dalam serbuan kedua pada 31 Julai, dua bungkusan plastik hitam berisi 35 balutan ganja seberat 36,414 gram ditemui berhampiran lokasi pertama, tetapi tiada tangkapan dibuat,“ jelas Adzli.
Maklumat lanjut membawa kepada serbuan ketiga pada malam sama, di mana seorang suspek berusia 19 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Changlun. Operasi diteruskan pada 2 Ogos dengan penahanan dua lagi ahli sindiket berusia 24 dan 28 tahun di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Menurut Adzli, kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan oleh lebih 187,000 penagih. “Sindiket ini menggunakan motosikal sewaan dari negara jiran untuk menyeludup dadah melalui laluan sah di sempadan. Suspek pertama bertindak sebagai penjaga tempat transit dengan upah RM100, manakala suspek kedua sebagai pengangkut dengan bayaran RM400 sekali trip,“ katanya.
Tiga suspek didapati positif metamfetamina dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah. Mereka direman antara empat hingga enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis akan terus memperketat kawalan di sempadan bagi membendung jenayah rentas sempadan,“ tegas Adzli - BERNAMA