KOTA BHARU: Polis Kelantan hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah dan racun berbahaya yang dirampas dari tahun 1997 hingga 2024, melibatkan jumlah keseluruhan RM11.3 juta.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pelupusan barang kes itu dilaksanakan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207, selepas semua bahan terlarang berkenaan memperoleh perintah mahkamah susulan tamatnya proses perbicaraan.
“Pelupusan kali ini melibatkan 467.722 kilogram (kg) dan 2,165.48 liter pelbagai bahan larangan seperti syabu, pil yaba, ubat batuk, air ketum, pil psikotropik dan ganja.
“Nilai rampasan tertinggi melibatkan syabu seberat 301.706kg yang dianggarkan bernilai RM9.66 juta, diikuti 1,721.45 liter ubat batuk bernilai lebih RM1 juta,” katanya pada sidang media sempena Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan Tahun 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata proses pelupusan akan dilaksanakan esok oleh Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan berkaitan, JSJN Kelantan turut mencatatkan pencapaian positif sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2025, apabila berjaya menahan 12,298 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
“Sepanjang tempoh itu, JSJN turut merampas dadah bernilai RM10.31 juta, selain merampas dan menyita aset pengedar dadah berjumlah RM1.32 juta,” katanya.