KOTA BHARU: Polis Kelantan memperketatkan kawalan sempadan berikutan jangkaan berlaku aktiviti rentas sempadan secara haram menjelang sambutan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) diarah memperketatkan operasi di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi menghalang warga Thailand yang ingin pulang ke kampung halaman mereka daripada menggunakan laluan tidak sah.

Beliau berkata arahan itu dikeluarkan selepas polis mengesan peningkatan mendadak rakyat Thailand yang keluar dari negara ini melalui tiga pintu masuk rasmi di Kelantan sejak dua hari lepas.

“Saya dimaklumkan bilangan rakyat Thailand yang pulang ke negara mereka dalam dua hari terakhir ini mencecah hampir 10,000 orang sehari.

“Kesemua mereka menggunakan tiga Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga. Walaupun majoriti mematuhi prosedur rasmi, kita percaya masih ada yang cuba menggunakan laluan haram,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menyantuni Petugas dan Berbuka Puasa di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata polis turut memantau pergerakan rakyat Thailand yang pulang ke kampung halaman mereka bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Anggota PGA yang bertugas di ICQS telah diarahkan untuk memantau pergerakan mereka dengan lebih teliti, termasuk memerhatikan jeti haram yang sering menjadi laluan pilihan bagi mereka yang cuba merentas sempadan secara tidak sah.

“Semua jeti atau pangkalan haram ini akan dipantau rapi, dan mana-mana pihak yang ingkar akan ditahan. Arahan ini telah dikeluarkan sejak 1 Dis tahun lepas dan semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.