• 2025-10-21 05:54 PM

KOTA BHARU: Polis akan meneruskan operasi meroboh lebih 100 jeti haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand meskipun menerima pelbagai bentuk provokasi daripada pihak tertentu di Thailand.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata operasi besar-besaran itu dijadualkan bermula Isnin ini dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Insya-Allah ia akan bermula di Pasir Mas dan Rantau Panjang dahulu,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Beliau menegaskan operasi tetap akan diteruskan meskipun menerima banyak provokasi daripada pihak di Thailand.

Provokasi yang diterima termasuk cubaan menghalang perobohan serta isu melibatkan hubungan kekeluargaan antara penduduk di kedua-dua negara.

Sementara itu, Pemangku Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am ACP Ijid Landu Binju berkata PGA akan memberikan bantuan sekiranya diperlukan.

“Peranan PGA ialah sebagai elemen sokongan sumber manusia dan logistik sekiranya dipohon oleh jabatan-jabatan yang terlibat perobohan jeti haram,“ katanya ketika dihubungi hari ini. – Bernama