KOTA BHARU: Polis Kelantan akan menambah bilangan anggota risikan tanpa uniform di kawasan sempadan dalam masa terdekat bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang masih berlaku meskipun kawalan keselamatan telah diperketatkan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam satu pertemuan esok.

Beliau berkata tindakan itu dilihat perlu susulan kejadian jenayah rentas sempadan yang masih dikesan walaupun bersifat terpencil.

“Hampir setiap hari terdapat tangkapan. Jadi, kita akan ubah kaedah operasi dengan memperbanyakkan unit risikan tanpa uniform melibatkan anggota PGA dan polis untuk membuat rondaan di kawasan sempadan.

“Pendekatan ini diambil kerana kebanyakan orang hanya berasa gentar apabila melihat kehadiran anggota keselamatan beruniform, sedangkan penjenayah boleh mengambil kesempatan di lokasi yang kurang pengawasan ketara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ibadah Korban Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata faktor jarak antara pos kawalan PGA yang jauh antara satu sama lain, iaitu ada yang mencecah dua hingga tiga kilometer, turut menjadi punca penyeludupan masih berlaku.

“Sempadan Malaysia-Thailand melibatkan jarak sejauh 136 kilometer, manakala kawasan di bawah jagaan Polis Kelantan adalah sepanjang 91 kilometer. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dipantau sepenuhnya kerana setiap pos juga terpisah jauh antara satu sama lain.

“Keadaan ini membuka ruang kepada individu untuk melakukan jenayah rentas sempadan tanpa disedari, memandangkan menyeberangi sungai dengan perahu hanya mengambil masa kira-kira satu minit,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu bermula 31 Mei hingga 8 Jun lepas, sebanyak 13 tangkapan berkaitan jenayah rentas sempadan telah dibuat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

“Antara alasan yang sering diberikan suspek adalah untuk menziarahi keluarga, mengambil kunci kenderaan dan sebagainya. Hanya dua kes melibatkan tujuan berhibur,” katanya.