CHUKAI: Polis mengeluarkan 74 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 12 motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar bandar ini bermula semalam hingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata operasi dijalankan susulan video tular memaparkan sekumpulan penunggang motosikal berlumba dan menunggang secara melulu serta berbahaya di sekitar bandar itu.
“Sebanyak 68 kenderaan diperiksa menerusi operasi disertai 17 pegawai dan anggota.
“Kesemua saman dikeluarkan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihati ibu bapa supaya lebih peka dengan pergerakan dan aktiviti anak-anak yang melibatkan motosikal.