BENTONG: Polis telah mengenal pasti identiti mangsa yang maut dalam kejadian sebuah helikopter jenis Bell 206L4 terbakar ketika mengisi minyak di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata mangsa merupakan seorang jurutera warga Indonesia (petugas di lapangan) dikenali sebagai Finsen Resky Sembiring, 27.
“Mangsa yang berada di tapak pendaratan helikopter semasa kejadian dipercayai maut akibat libasan bilah kipas helikopter selepas ia gagal dikawal ketika membuat hovering setinggi kira-kira tiga kaki semasa ingin mengisi minyak.
“Hal itu menyebabkan skid (kaki) pesawat itu bergesel dengan tempat pendaratan, lalu terbalik dan berlaku kebakaran. Bagaimanapun seorang lagi mangsa iaitu juruterbang warga Indonesia dikenali sebagai Kustiyadi, 44, hanya mengalami cedera ringan,” katanya kepada media di lokasi kejadian di sini hari ini.
Zaiham berkata helikopter itu datang dari sebuah lokasi tapak projek kira-kira 16 kilometer dari kawasan kejadian
Beliau berkata syarikat berkenaan sedang melakukan kerja-kerja bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak enam hari lepas dan mempunyai kebenaran untuk menggunakan kawasan di tapak perkhemahan di lokasi kejadian sebagai tempat mengisi minyak.
Menceritakan lanjut kejadian itu, Zaiham berkata tindakan berani seorang pengawal keselamatan warga tempatan berusia 38 tahun, yang menarik juruterbang helikopter itu keluar dari dalam pesawat ringan tersebut ketika ia sedang terbakar telah menyelamatkan nyawa warga Indonesia berkenaan.
Bernama difahamkan pengawal keselamatan itu berlari ke lokasi nahas helikopter kira-kira 100 meter dari balai pengawal di tapak perkhemahan terbabit sebaik menyedari kejadian tersebut.
“Setakat ini ada dua saksi yang melihat kejadian ini termasuk pengawal keselamatan yang menyelamatkan juruterbang sebagai saksi utama,” katanya.
Zaiham berkata pihaknya masih menunggu keputusan daripada pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata siasatan awal mendapati helikopter milik Zaveryna Utama dari Indonesia dan telah didaftarkan di Malaysia itu, dipercayai digunakan untuk mengangkut bahan binaan tiang elektrik TNB.
“Kita percaya (helikopter itu digunakan) untuk mengangkut barang binaan dari satu point ke satu point dan lebih kurang enam trip penerbangan telah dilakukan helikopter tersebut sejak 21 Jan lepas.
“Bagaimanapun, semasa kejadian tadi tidak ada barang pembinaan dibawa kerana helikopter tersebut baharu hendak mula operasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kilang Peluru Ketech Asia Sdn Bhd, di Lipis hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati polis mengawal rapi kawasan berkenaan untuk mengelak ia menjadi tumpuan orang awam terutama dari kawasan perkhemahan berhampiran.
Pengamal media yang membuat liputan juga hanya dibenarkan berada pada jarak 100 meter dari bangkai pesawat ringan tersebut yang dilingkungi dengan pita kuning oleh pihak berkuasa.
Mayat jurutera berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Bentong sebaik Unit Forensik PDRM selesai melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter yang terbakar di Batu 8, Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong pagi tadi.
“Terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, petugas Jabatan Kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat ini,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebooknya.