KUALA LUMPUR: Polis sedang giat mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan bersenjata di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Sambanthan.
Kejadian itu berlaku awal pagi tadi dan mengakibatkan dua individu mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan kedua-dua suspek yang berumur awal 30-an telah dikenal pasti.
“Pihak polis juga meminta suspek untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Ku Mashariman berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.15 pagi.
Menurut laporan, pertengkaran berlaku antara mangsa dengan dua suspek di hadapan pusat hiburan tersebut.
Dua lelaki berumur 33 dan 47 tahun cedera selepas diserang menggunakan parang dan batang besi.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata- Bernama