• 2025-07-30 07:11 PM

BANTING: Polis Kuala Langat melupuskan pelbagai barang kes melibatkan kontraban, mesin bitcoin, peralatan perjudian serta timah dan tembaga bernilai RM1.08 juta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata pelupusan itu, membabitkan 47 kertas siasatan yang telah selesai bagi tempoh 2016 hingga tahun ini.

Beliau berkata antara yang dilupuskan ialah barang kes kontraban iaitu 14,000 batang rokok pelbagai jenama dan 6,192 tin minuman keras pelbagai jenama, masing-masing bernilai RM400,000 dan RM25,000.

“Turut dilupuskan 239 unit mesin bitcoin serta 84 unit set komputer dan telefon bimbit serta 69 guni jumbo berisi timah dan tembaga, empat tong sisa timah dan empat kotak kelongsong peluru,” katanya pada sidang media selepas melaksanakan pelupusan barang kes peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini.

Mohd Sufian berkata tindakan pelupusan itu sedikit sebanyak dapat menjimatkan ruang penyimpanan, termasuk mengurangkan lambakan barang kes di stor penyimpanan IPD Kuala Langat yang semakin padat. - Bernama