SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya melumpuhkan kegiatan pemprosesan cecair vape haram yang mengandungi dadah dalam dua serbuan berasingan di Ampang.
Operasi pada 25 Jun lalu itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM21.85 juta.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata serbuan pertama menyaksikan penahanan dua lelaki dan seorang wanita warga asing serta seorang lelaki tempatan.
Pemeriksaan menemui tujuh kartrij vape disyaki mengandungi kokain (0.057 kg), serbuk kokain (2.7 kg), dan cecair MDMA (124.6 kg).
Serbuan kedua di kondominium berdekatan menemui bunga ganja (0.041 kg), kartrij vape MDMA (0.14 kg), dan serbuk kokain (0.056 kg).
Seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun turut ditahan selepas ujian air kencingnya positif morfin.
Hussein menjelaskan, sindiket ini dipercayai aktif sejak Oktober 2024 dengan menggunakan dua unit kondominium sewaan RM6,000 sebulan sebagai makmal pemprosesan.
“Mereka menjana keuntungan bersih RM200,000 sebulan melalui pengedaran dadah dalam dan luar negara,“ katanya.
Turut dirampas kereta, wang tunai, komputer riba, barang kemas, dan jam tangan bernilai RM21.9 juta.
Kesemua suspek direman tujuh hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.