MELAKA: Polis Melaka menyeru lebih banyak Skim Rondaan Sukarela (SRS) diaktifkan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri itu dalam usaha membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata sebagai contoh, tiga SRS yang diaktifkan di daerah Melaka Tengah iaitu di SRS Taman Bukit Rambai, Rumah Pangsa Pantai Peringgit dan Bukit Nibong mencatatkan sifar indeks jenayah di kawasan berkenaan sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata setakat ini terdapat sebanyak 190 SRS telah diaktifkan di seluruh negeri itu dengan 77 daripadanya di daerah Melaka Tengah manakala sebanyak 253 KRT diwujudkan di negeri itu dengan 114 daripadanya di daerah sama.
“Anggota SRS dalam KRT yang diaktifkan ini memainkan peranan penting khususnya membantu pihak berkuasa seperti polis membendung kegiatan jenayah dan gejala tidak sihat dalam komuniti setempat.
“Tanggungjawab ini kadang kala dipandang remeh oleh segelintir masyarakat namun ia merupakan satu tanggungjawab besar dan mulia dalam menjamin keselamatan serta ketenteraman awam,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Melaka Bersama KRT dan SRS Daerah Melaka Tengah yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit.
Mengulas lanjut, Zainol berkata di bawah Seksyen 25 Akta Rukun Tetangga 2012, anggota SRS di bawah KRT mempunyai kuasa menghentikan serta memeriksa individu atau kenderaan yang memasuki kawasan mereka dalam usaha mengekang sebarang kejadian jenayah.
Katanya selain itu, SRS yang diaktifkan juga bukan sahaja berupaya mengeratkan kerjasama antara polis dan masyarakat malah turut memperkukuh semangat perpaduan antara penduduk pelbagai kaum di sesuatu kawasan perumahan atau taman. - Bernama