• 2025-10-04 03:55 PM

KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Kajang.

Remaja bernama Nur Atiqah Farhah Abdullah kali terakhir dilihat di Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang pada 26 September lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata polis menerima laporan berhubung kehilangan remaja berkenaan pada 5.57 petang semalam.

Mangsa mempunyai ketinggian 159 sentimeter dan berat kira-kira 45 kilogram.

Ketika kejadian, Nur Atiqah Farhah memakai baju kurung sekolah berwarna putih, kain biru, tudung putih serta membawa beg berwarna hitam.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang melalui talian 03-89114222.

Mereka juga boleh menghubungi pegawai penyiasat Sjn Mohd Zamri Mohd Nor melalui talian 010-2848761. – Bernama