IPOH: Polis akan merakam keterangan seorang guru pada Isnin ini susulan dakwaan hantaran jelik di media sosial berhubung kemalangan maut membabitkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Jun 9 lepas.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata proses merakam percakapan guru lelaki yang bertugas di sebuah sekolah di negeri ini akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
“Kita akan rekod keterangan pada Jun 16 ini apabila janji temu dibuat bersama guru berkenaan pada tarikh itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Semalam, Hasbullah dalam kenyataan memaklumkan polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung tindakan guru berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siasatan dibuat berdasarkan satu laporan yang diterima pihak polis kira-kira 4.40 petang pada 11 Jun mengenai hantaran daripada akaun Facebook pengguna yang menggunakan nama ‘Khalid Yunus’.