• 2025-08-04 03:52 PM

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dan merampas syabu serta ketamin seberat 439.7 kilogram (kg) bernilai lebih RM17 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres di Sri Hartamas di sini, Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata serbuan pada 2.10 petang itu dilakukan selepas risikan dijalankan selama sebulan dan dianggap antara rampasan terbesar tahun ini.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap rumah teres disewa lelaki tempatan berusia 30 tahun itu menemukan 224 bungkus syabu dianggar seberat 234 kg dan 200 bungkusan plastik mengandungi ketamin dianggar seberat 205.7 kg, dengan nilai keseluruhan dadah dianggarkan RM17.78 juta.

“Suspek berperanan sebagai koordinator dan ‘transporter’ (ejen pengangkut) kepada sindiket dadah berkenaan yang menerima gaji sekitar RM6,500 hingga RM7,000 sebulan,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata siasatan awal mendapati sindiket itu menjadikan rumah teres berkenaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan.

“Semua dadah itu dipercayai dibawa masuk melalui jalan darat dari negara jiran oleh sindiket berkenaan. Kita percaya lelaki itu menerima arahan daripada seseorang untuk menghantar dadah sekiranya terdapat permintaan.

“Polis turut merampas dua kereta, tiga jam tangan dan pelbagai jenis barangan kemas bernilai RM93,350, menjadikan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM17.9 juta,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu yang memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan senjata, namun negatif terhadap dadah kini direman bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes lain, Hussein berkata polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dengan penahanan empat individu termasuk tiga warga Vietnam di sebuah pangsapuri di Taman Kuchai Entreprenuers, Selasa lepas.

Beliau berkata serbuan pada 12 tengah hari itu menemukan lapan kotak berisi 91 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah disyaki bunga ganja seberat 42.3 kg.

“Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan pangsapuri berkenaan sebagai stor simpanan sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.

“Suspek berusia 26 hingga 30 tahun terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang lelaki dan dua wanita Vietnam kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya- BERNAMA