SEPANG: Polis mengesahkan telah menerima satu laporan semalam berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan penuntut pusat asasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dengkil berpakaian menyerupai kostum kumpulan pelampau bangsa.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman dalam kenyataan hari ini berkata video tersebut dipercayai adalah sebahagian daripada hasil tugasan pelajar UiTM yang berkaitan dengan ahli kumpulan Ku Klux Klan (KKK).
“Dalam paparan video itu, terdapat lakonan semula apa yang berlaku suatu masa dahulu iaitu orang kulit putih membunuh orang kulit hitam dan apabila tercetusnya KKK ini, maka satu undang-undang baharu bagi menghalang diskriminasi kaum telah dilaksanakan.
“Kes masih dalam siasatan polis dan orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi berita tidak benar yang boleh menyebabkan kegusaran awam,” katanya.
UiTM menerusi kenyataan semalam menjelaskan pelajar berpakaian mirip KKK itu adalah sebahagian daripada tugasan akademik oleh pelajar Pusat Asasi UiTM bagi sesi pembentangan kursus Contemporary Global and Legal Issues.
UiTM berkata tugasan itu bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa, dan pensyarah serta pihak fakulti terlibat turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal, berlandaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sensitiviti agama, budaya mahupun perkauman.