SANDAKAN: Ibu pejabat polis daerah (IPD) Sandakan berjaya menumpaskan kegiatan mencuri kabel pencawang telekomunikasi yang aktif sejak Januari lepas di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata pihaknya berjaya menyelesaikan 16 kes membabitkan kumpulan bergelar Geng Nudin itu dengan tertangkapnya seorang bekas pekerja sebuah pencawang.
“Suspek lelaki tempatan berumur 32 tahun itu berkaya ditangkap di Kampung Sundang Laut kira-kira 8.30 malam pada 12 Mac lepas.
“Hasil maklumat yang diterima (melalui suspek) telah membawa kepada penahanan tiga lelaki dan dua wanita pada keesokan hari (13 Mac),” katanya pada sidang akhbar mengenai kejayaan IPD Sandakan dalam tiga bulan pertama tahun ini, di sini hari ini.
Abdul Fuad berkata, pihaknya turut merampas kabel dalam pelbagai ukuran, termasuk yang telah diproses untuk mengeluarkan tembaga dan beberapa peralatan pencawang.
Menurutnya semakan terhadap seorang daripada suspek didapati mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, sementara empat lagi suspek didapati positif dadah jenis syabu.
Abdul Fuad berkata 16 kes curi kabel pencawang itu merupakan antara 32 kes yang berjaya diselesaikan di daerah ini melibatkan kerugian kira-kira RM457,400, manakala keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM260,000.
Sementara itu, katanya IPD tersebut telah melakukan 17 tangkapan melibatkan 13 lelaki dan empat wanita berumur lingkungan 27 hingga 49 tahun termasuk dua warga asing, berkaitan kes jenayah samun, pecah rumah dan curi kenderaan.
“Bagi penyelesaian kes jenayah kekerasan dan harta benda sejak 1 Jan hingga 31 Mac, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sandakan telah menyelesaikan 99 kes daripada 133 kes jenayah yang berlaku iaitu bersamaan 74.44 peratus, manakala pertuduhan kes jenayah di mahkamah pula 51.72 peratus.
“Kejayaan tangkapan ini adalah hasil kerjasama yang diberikan oleh orang awam kepada pihak polis dengan memberikan maklumat yang betul sehingga suspek yang terlibat berjaya ditangkap,” katanya. - Bernama