PUTRAJAYA: Agenda pembaharuan Ekonomi MADANI yang dilaksanakan kerajaan kini telah membuahkan hasil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, Malaysia menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam pelaburan, ekonomi dan kestabilan fiskal.
Memetik laporan Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2025 oleh Institute for Management Development (IMD) baru-baru ini, Anwar berkata Malaysia kini berada di kedudukan ke-23 dunia, meningkat sebanyak 11 anak tangga daripada tempat ke-34 pada 2024.
“Ini pencapaian terbaik (negara) sejak 2020. Kita merupakan satu-satunya negara yang menunjukkan prestasi peningkatan lebih 10 anak tangga,“ kata beliau ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Anwar berkata kedudukan keseluruhan itu dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor iaitu prestasi ekonomi yang melonjak empat anak tangga ke kedudukan keempat pada 2025 berbanding tempat kelapan pada 2024 serta kecekapan kerajaan yang turut melonjak lapan anak tangga ke tempat ke-25 pada 2025 berbanding kedudukan ke-33 tahun lepas.
Selain itu, beliau berkata, kecekapan perniagaan turut melonjak lapan anak tangga iaitu ke kedudukan ke-32 pada 2025 berbanding tempat ke-40 pada 2024.
“Ini merupakan satu pencapaian bukan sahaja hasil daripada dasar fiskal dan kewangan yang berhemah, tetapi juga disumbangkan oleh kecekapan dan keupayaan penjawat awam kita.
“Maknanya tidak sia-sialah kita perkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), maknanya itu satu galakan untuk memikirkan soal bonus kemudian,“ kata Perdana Menteri.
Selain itu, Anwar berkata usaha pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan turut mendapat pengiktirafan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“IMF melalui Misi Artikel IV, 2025, memuji komitmen Malaysia dalam melaksanakan reformasi fiskal.
“Mereka menyifatkan pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 sebagai tonggak penting reformasi fiskal negara,“ kata beliau.
Sementara itu Anwar turut menegaskan langkah subsidi dan cukai yang dilaksanakan secara bersasar adalah bertujuan untuk melindungi rakyat terbanyak.
Beliau berkata setiap ikhtiar reformasi fiskal tidak sama sekali mengenepikan maslahat majoriti rakyat malah kerajaan meluaskan asas cukai dan menyasarkan subsidi bagi menambah baik bantuan dan perkhidmatan.
Menurut beliau, pada 2023 kerajaan telah menyelaraskan subsidi elektrik, namun langkah itu tidak membebankan 85 peratus daripada rakyat.
“Jadi dengan itu kita jimat RM4 bilion, untuk apa? Untuk sekolah dan hospital,“ kata beliau sambil menambah penyasaran subsidi diesel dilaksanakan pada tahun lalu dan tidak membebankan rakyat.
“Penyeludupan (diesel) ke Thailand dan Indonesia berjalan puluhan tahun dan mengaut puluhan bilion ringgit. Kerajaan tidak boleh biar (perkara itu) sebab itu kita kawal,“ kata beliau.
Anwar berkata susulan langkah penyasaran subsidi itu kadar inflasi terkawal pada paras 1.8 peratus pada 2024 berbanding 2.5 peratus pada 2023.