SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya melumpuhkan sebuah sindiket dadah selepas melakukan enam serbuan berasingan di Ampang dan Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.
Operasi itu membawa kepada rampasan dadah bernilai RM5.03 juta dan penahanan 13 individu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket ini disyaki aktif sejak Disember tahun lepas dengan menggunakan rumah teres di Ampang dan Pandan Perdana sebagai makmal memproses dadah MDMA ke dalam minuman jus.
“Serbuan ini juga menemui 1,510 kotak dan 728 botol minuman jus disyaki mengandungi cecair MDMA, dengan berat sekitar 689.42 kilogram.
Selain itu, kami merampas serbuk MDMA, ketamin, pil ekstasi, dan pil erimin 5,“ katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Menurut Hussein, antara yang ditahan termasuk seorang koordinator, ahli kimia, pembantu, dan penghantar dadah yang dibayar antara RM3,000 hingga RM25,000 sebulan.
Sembilan daripada 13 suspek didapati positif dadah melalui ujian air kencing.
Polis turut menyita lapan kereta, sebuah motosikal, wang tunai, dan barang kemas bernilai RM826,222.
Kesemua suspek direman sehingga 3 Julai dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.