• 2025-06-26 06:55 PM

TASEK GELUGOR: Polis sedang menyiasat dakwaan bahawa kebakaran tiga rumah teres di Taman Tasek Gelugor Utama pada Selasa lepas mungkin dilakukan oleh pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata, pemilik rumah telah membuat laporan mendakwa kejadian itu sebagai perbuatan khianat.

“Pemilik sebuah rumah terlibat mendakwa menerima nota amaran daripada Ah Long. Siasatan terperinci dijalankan dan polis sedang menunggu laporan unit forensik bomba,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Selasa, media melaporkan tiga rumah, lima kereta, dan empat motosikal musnah dalam kebakaran sekitar jam 4.50 pagi.

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Seorang mangsa kebakaran kemudian memuat naik hantaran di Facebook mendakwa Ah Long bertanggungjawab atas kejadian itu sebagai tindakan khianat terhadap rumah lain.

Mangsa itu mendakwa seorang pemilik rumah menerima surat amaran untuk membayar hutang yang mengandungi nama dan maklumat peminjam.

Namun, individu berkenaan tidak tinggal di tiga rumah yang terbakar.