KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat kemungkinan wujud kaitan sindiket dadah tempatan dengan penahanan seorang lelaki rakyat Malaysia bersama dua laras raifal M4 dan ratusan butir peluru di Sadao, Songkhla, Thailand baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan juga dijalankan berhubung dakwaan senjata itu diseludup masuk ke negara ini untuk kegunaan sindiket dadah.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan sebarang kaitan dengan sindiket dadah,“ katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 1 September, media melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan dalam sekatan jalan raya oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao bersama raifal dan ratusan butir peluru disyaki untuk diseludup masuk ke Malaysia.
Pada 2 September, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata suspek masih ditahan di Thailand dan siasatan lanjut akan dijalankan dengan kerjasama erat pihak berkuasa negara jiran itu.
Susulan itu, Mohd Khalid berkata pihaknya akan menghantar pegawai ke Thailand bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kes terbabit. – Bernama