KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden membabitkan kira-kira 80 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas didapati menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata setakat ini, pihaknya menerima tujuh laporan daripada bakal jemaah berkenaan.
“Saya sahkan menerima laporan tersebut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan bahawa kira-kira 80 bakal jemaah haji ditahan oleh Pasukan Petugas Khas di KLIA selepas dipercayai agensi pelancongan yang menguruskan mereka menggunakan visa pelancong dan bukannya visa mujamalah seperti dijanjikan.
Difahamkan, jemaah gagal memperoleh visa mujamalah berkenaan berikutan masalah teknikal melibatkan sistem Nusuk, namun agensi pelancongan terbabit tetap mahu menerbangkan mereka ke Arab Saudi menggunakan visa pelancong, menyebabkan mereka tidak dibenarkan berlepas.
Visa mujamalah ialah visa khas yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada individu atau kumpulan tertentu, dan tidak tertakluk kepada kuota haji rasmi yang diperuntukkan kepada Malaysia.