KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan kes pecah amanah membabitkan seorang pekerja kedai emas, di daerah Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata perkara itu selepas pemilik kedai berkenaan iaitu seorang wanita berusia 37 tahun, mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM700,000 selepas pekerjanya dipercayai menipu dalam urusan tempahan dan melebur emas pelanggan.

Beliau berkata mangsa ketika berada di kedainya pada 10 pagi 2 Feb lepas telah membuat semakan dan mendapati berlaku transaksi, yang suspek wanita berusia 28 tahun telah mengambil tempahan emas daripada pelanggan untuk dilebur dan dikenakan bayaran, tetapi tidak direkod dalam buku daftar.

“Mangsa juga mendapati berat emas yang dicatat dalam buku daftar, berbeza dengan berat sebenar secara berperingkat menyebabkannya mengalami kerugian dalam tempoh yang lama.

“Semakan dibuat pengadu selepas ada pelanggan yang menghantar barangan kemas ke kedainya, membuat laporan polis kerana belum mendapat barang kemas yang ditempah sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata pihaknya terpaksa mengambil masa untuk mengumpul bukti, sebelum dapat membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.