GEORGE TOWN: Polis menahan 10 lelaki disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan di tapak penjualan mercun di Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata punca kejadian disebabkan perselisihan tapak penjualan mercun antara dua premis menjual mercun di kawasan terbabit.
“Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya bersama Balai Polis Bayan Lepas telah ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kes pergaduhan itu kira-kira pukul 10.15 malam.
“Polis telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh yang singkat susulan tangkapan sebanyak 10 lelaki yang berumur antara 15 hingga 41 tahun dipercayai terbabit dalam insiden itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sazalee berkata kesemua suspek direman tiga hari hingga 3 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sehubungan dengan itu, beliau juga menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar dalam media sosial mengenai insiden pergaduhan yang melibatkan sekumpulan lelaki.