BUTTERWORTH: Polis menahan 28 lelaki hari ini, dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Jalan Raja Uda di sini semalam, seperti yang tular melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Asri Shafie berkata kesemua mereka berumur 17 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Butterworth dan polis turut merampas pelbagai senjata digunakan dalam kejadian terbabit.

“Berdasarkan siasatan polis, kejadian pergaduhan itu berlaku semalam dan ekoran insiden berkenaan, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang berjaya menahan 28 lelaki tempatan itu tengah malam tadi hingga pagi hari ini.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku disebabkan pertengkaran dan provokasi sesama mereka sebelum ia berlarutan sehingga berlaku pergaduhan,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan direman untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.

Mohd Asri berkata polis juga kini giat mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan terbabit, selain meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau saksi kejadian itu boleh menyalurkan maklumat melalui talian 04-5762222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular dalam media sosial video berdurasi lima saat memaparkan kejadian sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu dan parang yang bertindak menyerang sebuah kereta dinaiki beberapa individu di Jalan Raja Uda.