PADANG BESAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas lima kilogram (kg) ganja di pekarangan pintu masuk bangunan The Zone Duty Free di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdulllah berkata suspek pertama berusia 23 tahun ditahan dalam satu pemeriksaan pada 1.20 tengah hari berhampiran bangunan itu setelah didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Polis melihat seorang lelaki yang sedang duduk atas motosikal jenis Honda RSX 150 warna hijau sambil menggalas satu beg warna biru semasa berada di tepi jalan berhadapan dengan pintu masuk bangunan The Zone Duty Free Padang Besar.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg itu telah menjumpai lima bungkusan kerajang aluminium warna merah, setiap satunya berisi ketulan tumbuhan mampat dipercayai dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar di sini, hari ini.

Katanya susulan tangkapan itu, dalam tempoh kurang 24 jam, polis turut berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 36 tahun berhampiran lokasi sama, namun tiada bahan terlarang didapati bersama lelaki terbabit.

Menurut Mohd Shokri dadah yang dirampas tersebut bernilai RM15,500 dan boleh diguna pakai 5,000 penagih.

Beliau berkata suspek berusia 23 tahun dipercayai mengambil upah membawa bekalan dadah yang diambil daripada pembekal di negara jiran dan menyeludup masuk ke negara ini untuk diedarkan kepada penagih, manakala suspek kedua dipercayai sebagai dalang.

Kedua-dua suspek didapati mempunyai rekod jenayah dan merupakan antara orang yang dikehendaki serta positif methamphetamine dalam ujian air kencing.

Beliau berkata suspek direman tujuh hari bermula 10 Feb lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis masih mengesan suspek lain yang mungkin terlibat dalam kes berkenaan.–Bernama