PUTRAJAYA: Polis menahan seorang lelaki dipercayai penagih dadah selepas Unit Kereta Peronda (MPV) mengejar suspek sejauh 3 kilometer (km) kerana enggan memberhentikan kenderaan dipandunya, di Jalan Kita Impian, Cybersouth di Dengkil dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, anggota polis sedang melakukan tugas rondaan dengan menaiki sebuah MPV di Jalan Cyberjaya–Dengkil sebelum ternampak sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata anggota MPV telah mengarahkan suspek untuk memberhentikan kenderaan dipandunya, namun lelaki tempatan itu enggan dan terus memecut laju menyebabkan anggota polis mengejar kenderaan berkenaan sejauh 3 km.

“Akibat daripada kejar-mengejar, berlaku kemalangan dengan kenderaan dipandu suspek ... . Kenderaan MPV polis mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat kejadian itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata suspek berumur 29 tahun itu kemudian ditahan kira-kira 9.50 malam dan pemeriksaan mendapati lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau itu positif dadah antaranya jenis methamphetamine (Meth) dan amphethamine (AMP).

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,“ katanya.