KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes bunuh melibatkan peniaga makanan wanita yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek berusia 53 tahun itu ditahan sepasukan polis di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu pada 5.30 pagi tadi.
Beliau berkata permohonan reman terhadap suspek yang juga penganggur akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Turut dirampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian selain dokuman bagi membantu siasatan.
“Dengan tertangkapnya suspek ini polis berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan peniaga berkenaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman mengucapkan terima kasih kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu yang membantu mengesan dan menangkap suspek.
Sebelum ini media melaporkan mayat seorang peniaga makanan wanita tempatan Norshamira Zainal, 37, ditemukan pada 13 Feb di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Menurut Yahaya, terdapat kesan kecederaan di badan mangsa dan siasatan mendapati barang kemas wanita itu juga hilang.
Kejadian malang menimpa ibu kepada seorang anak lelaki itu turut mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu suspek terlibat diberkas segera dan hukuman setimpal dikenakan jika disabitkan kesalahan membunuh.
Al-Sultan Abdullah bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berkenan melawat keluarga mangsa di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam.