• 2025-08-10 10:06 PM

BANDAR PERMAISURI: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas disyaki membakar rumah isteri keduanya di Kampung Langkap Baru di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, suspek berusia 79 tahun disyaki telah terlebih dahulu membaling sesuatu ke arah rumah isterinya itu.

“Perbuatan itu dilihat oleh anak tiri suspek yang turut melihat suspek masuk ke dalam rumah itu melalui tingkap bahagian dapur rumah dan mengeluarkan api sebelum suspek beredar dari kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Mohd Zain berkata anak tiri suspek yang berada di dalam rumah berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata suspek kemudiannya ditahan polis di pekarangan Balai Polis Chabang Tiga di Kuala Terengganu pada 4.11 pagi tadi.

Mohd Zain berkata suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sementara itu isteri suspek yang berusia 65 tahun ketika ditemui berkata ketika kejadian, dia berada di rumah seorang anaknya yang terletak di sebelah rumahnya yang terbakar 70 peratus itu.

Dia yang berkahwin dengan suspek sejak 25 tahun lepas dan kini dalam proses pemulihan daripada serangan strok, masih terkejut namun bersyukur tiada kecederaan berlaku.

“Saya serahkan kejadian ini kepda pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya yang mengakui ada mengalami perselisihan faham dengan suaminya itu sejak bulan lepas - BERNAMA