Your Title

BUTTERWORTH: Polis menembak mati dua penjenayah, kedua-duanya lelaki warga tempatan, dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di sini, pukul 2 pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan insiden itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Terdahulu difahamkan, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) telah mengesan sebuah kereta Myvi dalam keadaan mencurigakan di persimpangan Jalan Pokok Sena menghala Jalan Permatang Baru.

Polis kemudian meminta pemandu kereta itu supaya memberhentikan kenderaannya namun suspek enggan dan terus bertindak memecut sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Susulan itu, polis terpaksa membalas tembakan sebelum kedua-dua suspek disahkan maut di lokasi kejadian.