KUALA LUMPUR: Polis telah menerima 10 laporan daripada pekerja GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang mendakwa mereka tidak menerima sebarang bayaran gaji sepanjang bertugas di premis milik syarikat itu di seluruh negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan mendapati kejadian berlaku dari 2013 hingga tahun ini di Miri, Sarawak; Rawang, Selangor dan Alor Setar, Kedah melibatkan mangsa berusia lingkungan 14 hingga 20 tahun.
Beliau berkata GISBH juga gagal memberikan elaun kepada pekerja terbabit.
“Mangsa ini boleh ditakrifkan sebagai buruh paksa menurut Seksyen 90B Akta Kerja 1995,“ katanya ketika dihubungi Bernama.
Razarudin berkata laporan itu diterima selepas pihaknya menggesa ahli GISBH yang pernah menjadi mangsa eksploitasi sebagai buruh paksa agar tampil memberi maklumat.
Pada 8 Sept lepas, Mahkamah Buruh di Johor memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada seorang bekas pekerjanya yang tidak dibayar gaji sepanjang bekerja dengan syarikat itu.
Mangsa menuntut baki gaji dari Januari hingga Disember 2020 sebanyak RM114,000 dan baki gaji dari Januari hingga Disember 2021 sebanyak RM95,000 dengan jumlah keseluruhan RM209,000.