Your Title

GEORGE TOWN: Polis menerima satu lagi laporan daripada seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa kepada seorang doktor perubatan sebuah hospital di sini, yang ditahan Khamis lepas kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata ia menjadikan sehingga kini tiga laporan polis telah dibuat terhadap doktor lelaki berusia 43 tahun itu.

Beliau berkata dalam laporan polis yang dibuat semalam, wanita itu mendakwa kejadian berlaku pada 9.15 malam 20 Feb lepas di hospital tempat doktor pakar tersebut bertugas.

“Menurut wanita itu, doktor berkenaan telah meminta dia ke hospital untuk mengambil laporan ujian darah sebelum memperdayanya, kononnya dia ada penyakit jantung dan memerlukan pemeriksaan lanjut,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya diminta berbogel dan berlari setempat, sebelum doktor berkenaan merakam perbuatan wanita tersebut menggunakan telefon bimbit.

Lee berkata polis turut menemui rakaman video berkenaan di telefon bimbit doktor tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan jika terdapat rakaman lain yang dibuat oleh suspek.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki yang telah berkahwin itu juga mengaku terlibat beberapa kes berkelakuan tidak senonoh terhadap beberapa mangsa lagi.

“Lelaki itu masih direman sehingga 10 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,“ katanya.

Media sebelum ini melaporkan pihak polis telah menahan reman lelaki itu pada 26 Feb lepas setelah menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung perbuatannya, namun dia dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac.

Dua hari lepas, polis menahan semula doktor berkenaan susulan laporan oleh seorang wanita berhubung kelakuan tidak senonoh lelaki itu di sebuah klinik swasta, yang didakwa berlaku pada 2023, dan dia kini direman hingga 10 Mac.