KUANTAN: Polis Pahang akan meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran Mesyuarat Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) 2025 yang berlangsung di negeri ini pada minggu hadapan.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya giat menjalankan persiapan awal daripada aspek keselamatan supaya program yang dijadualkan diadakan di daerah Kuantan dan Pekan itu berjalan lancar.

“Polis akan memastikan tiada apa-apa halangan semasa mereka mengadakan mesyuarat dan lawatan serta semuanya berada dalam keadaan selamat.

“Sekiranya terdapat penutupan jalan, ia akan dilakukan secara minimum dan berperingkat bagi memastikan kelancaran lalu lintas,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Sementara itu, Yahaya memaklumkan persiapan daripada aspek keselamatan akan ditambah baik selepas satu mesyuarat bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin diadakan esok.

Mesyuarat AIPACODD dijadualkan berlangsung pada 10 dan 11 Jun di sini selain delegasi juga akan dibawa ke lawatan kebudayaan di Pekan.